TERENGGANU FC (TFC) sudah menemui pengganti kepada penyerang pinjamannya dari Johor Darul Taazim FC (JDT) musim lalu, Muhammad Safawi Rasid atau lebih dikenali sebagai Pawi yang kini berhijrah ke Kuala Lumpur City FC (KL City).
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, penyokong Terengganu perlu menunggu aksi seterusnya untuk melihat kelibat pemain itu yang tidak diturunkan menentang kelab Liga A1 Semi Pro, Kelantan Red Warriors (KRW) di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin.
Menurutnya, kegagalan mengikat Safawi memang agak mengecewakan tetapi beliau masih mampu menarik nafas lega apabila pemain sayap kelahiran Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid akan bersama pasukan sehingga musim 2026/27.
“Sebenarnya kita sudah ada pengganti Safawi tetapi kami tidak menggunakan khidmatnya malam ini (kelmarin) berikutan tidak dapat menurunkan skuad penuh. Ia disebabkan barisan pemain import kita baru sahaja tiba di Malaysia dua hari lalu.
“Jadi saya ambil peluang pada perlawanan persahabatan malam ini untuk menguji barisan pemain muda yang dibawa naik daripada TFC II,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV malam kelmarin.
Mengulas lanjut, apa yang ditunjukkan oleh TFC pada perlawanan itu masih jauh daripada keupayaan sebenar tetapi beliau yakin prestasi berbeza bakal dipersembahkan apabila skuad penuh Sang Penyu diturunkan pada perlawanan seterusnya.
Katanya, bagi musim 2025-2026, TFC hanya mendaftarkan enam import dengan dua telah melaporkan diri dan seorang lagi dijangka tiba hari ini dan seterusnya pada minggu depan.
“Kami turut mengekalkan pemain Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang merupakan tonggak pasukan musim lepas dan saya berharap dia akan terus bersama TFC untuk musim-musim seterusnya,” ujarnya.