KOTA TINGGI – Sukan triathlon dilihat mampu menjadi satu platform terbaik untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini berdepan krisis kesihatan membimbangkan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penyertaan dalam sukan yang menggabungkan tiga cabang utama iaitu renang, berbasikal dan larian mampu menyemai disiplin serta meningkatkan tahap kecergasan individu.
Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan penyertaan dalam sukan itu sebagai budaya dan agenda nasional dalam usaha menangani masalah obesiti serta diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Lebih 50 peratus rakyat Malaysia kini mengalami berat badan berlebihan, satu pertiga mengalami obesiti dan dalam kalangan itu pula, kira-kira 35 peratus menghidap diabetes.
“Angka ini bukan menurun, malah terus meningkat dari tahun ke tahun dan memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara,” katanya ketika ditemui media pada acara 113 International Triathlon Desaru Malaysia 2025 berlangsung di Sand & Sandals Desaru Beach Resort and Spa di sini hari ini.
Tambahnya, sukan triathlon adalah antara jalan terbaik kerana ia mencabar fizikal dan mental secara menyeluruh.
“Saya sendiri baru mula menyertai sukan ini tahun lepas, dan kini sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan hobi saya.
“Hari ini saya menyertai kategori 113 kilometer (km) yang melibatkan 2.25 km berenang, 90 km berbasikal dan 21 km larian,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE