PETALING JAYA – Perdana Menteri menyeru syarikat-syarikat Malaysia agar lebih proaktif meneroka pasaran baharu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat-syarikat perlu memanfaatkan platform seperti BRICS yang membuka ruang pertumbuhan di luar pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat dan China.
Beliau turut memaklumkan mengenai kejayaan pengeluaran minyak pertama FPSO Atlanta, iaitu FPSO ketiga Yinson di Brazil yang dibangunkan bagi pihak Brava Energia.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan teknikal, malah menjadi lambang kerjasama strategik yang erat dan komitmen bersama ke arah kemajuan dan kesejahteraan kedua-dua negara.
“Selain itu saya juga tegaskan bahawa kejayaan syarikat seperti Petronas dan Yinson di Brazil membuktikan keupayaan kita bersaing di ekonomi pesat membangun,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Anwar berkata, Presiden Brazil, Lula da Silva turut kagum apabila dimaklumkan tentang jejak perniagaan Malaysia di negaranya.
Terdahulu, Anwar menghadiri majlis makan malam anjuran Yinson Holdings Bhd di Rio de Janeiro yang meraikan hubungan kukuh dan berterusan antara Malaysia dan Brazil. – KOSMO! ONLINE