BEIJING – Seorang remaja berusia 16 tahun meninggal dunia selepas terjatuh ketika menuruni sebuah gunung di wilayah Sichuan, China, lapor portal berita Must Share News semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) di Gunung Siguniang, 30 Jun lalu.
Pentadbiran Kawasan Pemandangan Gunung Siguniang mengesahkan mangsa dikenali sebagai Zhou yang berasal dari Hong Kong dan menetap di bandar Shenzhen, wilayah Guangdong.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan Zhou tergelincir sebelum meluncur laju menuruni tebing gunung.
Mangsa dipercayai mengalami keletihan ketika menuruni puncak kedua gunung, kira-kira 5,276 meter di atas paras laut.
Zhou ditemui tidak bernyawa sekitar pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan).
Mayatnya dibawa turun ke bawah, manakala siasatan masih giat dijalankan, demikian menurut portal berita Hong Kong Economic Times. – AGENSI