PONTIAN – UMNO telah membuat persiapan lebih awal sejak setahun lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) kali ini lebih bersedia, berbanding PRN Sabah 2020 susulan pendekatan berfokus yang diterajui pimpinan negeri.
Katanya, sepanjang lawatan ke Sabah selama tiga hari baru-baru ini, beliau mendapati jentera UMNO dan BN serta Pakatan Harapan (PH) telah dimulakan lebih awal berbanding PRN 2020.
“Sejak tahun lalu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga mengenal pasti beberapa calon berpotensi bertanding dalam PRN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sekolah Agama Parit Semerah dan Penyampaian Anugerah Murid di Dewan Muafakat Johor, Taman Saujana, disini, petang semalam.
PRN Sabah kali ke 17 dijangka akan diadakan pada tahun ini berikutan tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang ditadbir oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan berakhir pada Oktober 2025.
Beliau berkata, sasaran UMNO bertanding sebanyak 25 hingga 30 buah kerusi adalah rasional berdasarkan kepada peluang memenanginya daripada lebih banyak kerusi yang tidak pasti peluang untuk menang.
“Harapan kita, kalau kita bertanding 25, kita menang 25. Kalau kita bertanding 30, kita menang 30. Itu yang penting, jangan bertanding banyak tapi kalah pun banyak.
“Kali ini saya yakin kerana kita bukan buat persiapan saat-saat akhir. Kita buat kursus, rancang secara menyeluruh, program anak muda, jelajah PRN kali ke-17 mengikut bahagian dan juga mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE