PETALING JAYA – Seorang penyelia ladang maut selepas tercampak ke dalam sungai akibat ditendang seekor lembu ketika menunggang motosikal berhampiran Ladang Batu 2, Kerling, Hulu Selangor pagi semalam.
Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Ibrahim Husin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melintasi sebuah jambatan kecil di dalam ladang terbabit.
Jelasnya, mangsa ditemui di dalam sungai terbabit oleh pekerja ladang kira-kira pukul 7.55 pagi.
“Penolong pegawai perubatan ladang kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lelaki terbabit tidak sedarkan diri tetapi masih mempunyai nadi.
“Beliau segera mengarahkan pekerja melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Siasatan lanjut mendapati, terdapat luka pada dahi mangsa dan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan otak traumatik yang teruk kerana terjatuh dari tempat tinggi dipercayai terjatuh akibat ‘ditendang’ lembu.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE