MADRID – Seramai 18 penumpang cedera apabila mereka berpusu-pusu melompat dari sayap pesawat dalam keadaan panik selepas mendengar bunyi penggera kebakaran, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Palma de Mallorca, Sepanyol.
Rakaman video dimuat naik di platform X menunjukkan barisan penumpang berdiri di atas sayap pesawat Ryanair sambil memegang bagasi mereka sebelum melompat ke tanah.
Jurucakap pusat penyelarasan tindak balas kecemasan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran di dalam pesawat sekitar pukul 12.36 tengah malam (waktu tempatan).
“Seramai 18 penumpang cedera ringan, dengan enam daripadanya dibawa ke hospital,” katanya.
Jurucakap syarikat penerbangan Ryanair berkata: “Penerbangan dari Palma ke Manchester terpaksa ditangguhkan susulan bunyi penggera kebakaran palsu.
“Sebahagian besar penumpang diturunkan menggunakan gelongsor kecemasan dan dibawa ke terminal,” katanya. – AGENSI