SHAH ALAM – Dua wanita termasuk pemilik syarikat mengalami kerugian berjumlah RM140,000 selepas ditipu seorang penceramah bebas bagi tujuan pembangunan sekolah agama.
Perkara itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 30 hingga 40-an di daerah ini dan Gombak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penceramah berusia 30-an itu menggunakan nama institusi agama bagi meraih kepercayaan mangsa sehingga mereka menyerahkan wang kepada suspek.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pemilik syarikat dan pengurus mengenali suspek sebagai penceramah bebas pada 2020.
“Suspek memperdaya mangsa bagi tujuan pembangunan sekolah agama dipercayai di Selangor.
“Mangsa pertama melakukan tiga transaksi kemasukan wang berjumlah RM60,000 pada Ogos dan September 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kedua pula membuat bayaran berjumlah RM80,000 pada 2019. Kedua-dua mangsa berasa ditipu dan mengalami kerugian berjumlah RM140,000.
“Polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Difahamkan, penceramah bebas itu merupakan individu sama yang sebelum ini disiasat berhubung penyebaran video seks melibatkan isteri-isterinya dan wanita lain. – KOSMO! ONLINE