BANGKOK – Seorang pemandu sebuah kereta Mercedes-Benz didakwa menampar seorang pelajar universiti ketika mereka terlibat dalam pertikaian mengenai tempat letak kenderaan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam rakaman video tular, pemandu kereta mewah itu mempertahankan tindakannya dengan mendakwa pintu kenderaannya tidak dapat dibuka kerana sebuah motosikal diletakkan terlalu rapat.
Dia dikatakan menegur seorang pelajar perempuan bersama teman lelakinya, namun pelajar itu enggan mengalihkan motosikal dengan alasan tiada kunci di tangannya.
Pemandu kereta turut menegaskan bahawa kawasan terbabit bukan tempat tempat parkir motosikal yang sah.
Menurutnya, sebelum keadaan menjadi tegang, dia menegur secara berhemah, namun pelajar berkenaan enggan memberikan kerjasama.
Pelajar perempuan tersebut berterusan merakam kejadian itu sehingga menyebabkan pemandu berkenaan naik darah lalu menamparnya.
Setakat ini, tiada laporan dibuat oleh pelajar terbabit terhadap pemandu yang didakwa menyerangnya secara fizikal. – AGENSI