SEREMBAN – Seorang individu cedera parah manakala lima yang lain cedera ringan selepas terbabit kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran Senawang 1, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.55 pagi itu, kemalangan membabitkan dua buah kereta iaitu kereta jenis Proton Satria dan Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Satria yang dipandu seorang lelaki Melayu berumur 19 tahun dari arah Senawang menghala ke Ampangan.
“Bagaimanapun, kereta berkenaan hilang kawalan setelah cuba mengelak sebuah kenderaan yang membrek secara mengejut. Jenis dan nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak dapat dipastikan.
“Kemudiannya, kereta Proton Satria tersebut melanggar tiang lampu dan sebatang pokok sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima orang termasuk pemandu.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang Perodua Axia cedera parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
“Penumpang lain yang cedera ringan turut menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,”katanya ketika dihubungi di sini.
Mohamad Hatta berkata, pemandu Proton Satria terbabit telah hadir membuat laporan polis sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE