ATLANTA – Kapten Bayern Munich, Manuel Neuer mengkritik penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma yang dianggap sebagai punca Jamal Musiala mengalami patah kaki pada aksi suku akhir Piala Dunia Kelab awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Mercedes-Benz itu, Donnarumma dilihat cuba untuk menangkap bola yang berada dalam kawalan Musiala, tetapi dengan tidak sengaja mencederakan pemain berusia 22 tahun itu.
Menurut Neuer, apa yang berlaku sepatutnya boleh dielak kerana Donnarumma telah melakukan sesuatu yang cukup berisiko.
“Saya rasa Donnarumma sepatutnya lebih bijak dalam mengawal situasi kerana tindakannya sangat berisiko. Cara dia menangkap bola boleh mendatangkan kecederaan serius buat pemain lawan.
“Selepas perlawanan, saya cakap kepada Donnarumma yang mana dia patut jumpa dengan Musiala dan dia dengar nasihat yang diberikan sebagai tanda hormat,” katanya.
Kekecewaan yang sama turut disuarakan oleh pengarah sukan Bayern, Max Eberl yang menganggap Donnarumma perlu beraksi dengan lebih matang selepas ini.
“Jika anda memiliki berat lebih 100kg dan menerjah kaki pemain lawan, ia boleh mendatangkan kecederaan serius. Saya faham mungkin Donnarumma tidak sengaja tetapi dia sepatutnya sedar apa yang sudah dilakukan,” katanya.
Difahamkan, Musiala bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat dan berehat untuk menjalani pemulihan sehingga tahun depan. – AGENSI