GEORGE TOWN – Isteri bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, tidak menyangka perjalanan menaiki bas bersama suami dan rakan pasukannya dari hotel ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak semalam menjadi pertemuan terakhir mereka.
Fildaanis Mat, 52, berkata, arwah suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai masalah kesihatan sewaktu dalam perjalanan menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’.
Menurut wanita itu, dia terkejut melihat suaminya rebah di padang pada minit-minit terakhir perlawanan.
“Masa minit pertama, dia nampak semangat dan tangkap (menyelamat) dua tiga bola. Selepas itu dia rebah. Memang tak sangka…anak bongsu kami pengsan tengah padang bila dapat tahu bapanya meninggal dunia.
“Dia tidak tunjuk apa-apa perubahan, cuma dalam dua tiga hari ini, dia kerap tenung saya dan saya ada bertanya kepadanya, tapi dia tak (tidak) kata apa-apa.
“Arwah demam dan muntah dua minggu lalu. Tetapi dia tetap aktif bersukan dan uruskan hal berkaitan perlawanan tersebut,” katanya sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini pukul 4.30 petang tadi.
Cerita Fildaanis, sepatutnya mereka sekeluarga hadir pada hari pendaftaran anak bongsu di sebuah kolej di Bangi, Selangor hari ini.
“Arwah nak sangat anak bongsu kami sambung belajar. Dia ada cakap dengan kawan-kawan tentang perkara ini,” ujarnya.
Sementara itu, rakan arwah, Radzuan Putah 60, yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang berkata, Firos ada mengadu sakit dada ketika latihan bola sepak minggu lalu.
“Atas bas dia sembang seperti biasa tapi nampak macam tak semangat. Sebelum itu dia beritahu tidak mahu pergi (ke Manjung).
“Memang satu kehilangan yang besar dalam sukan bola sepak bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi Malaysia,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan punca kematian Allahyarham Firos akibat serangan jantung. Firos meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar KPJ Seri Manjung pukul 10.23 malam semalam. -KOSMO! ONLINE