KUALA LUMPUR – Penyertaan Timor-Leste pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang akan bermula Selasa hingga Khamis ini masih sebagai pemerhati sebelum negara tersebut menerima keanggotaan penuh ASEAN pada Oktober ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN telah pun ditetapkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ke-46 pada Mei lepas.
“Tarikh untuk penyertaan penuh Timor-Leste sebagai anggota ASEAN secara rasminya akan berlangsung atau pun berlaku semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan.
“Dalam konteks mesyuarat menteri luar kali ini, seperti sebelum ini Timor-Leste akan terus menyertai mesyuarat-mesyuarat ASEAN iaitu masih sebagai ‘observer’ atau pemerhati ASEAN,” katanya pada taklimat kepada media berkaitan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Katanya, fokus utama mesyuarat di peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN ialah untuk memastikan pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang telah dibuat sebelum ini.
“Ia akan dilaksanakan supaya semuanya diselesaikan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti,” katanya.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ASEAN akan melaksanakan secara konsensus segala aspek diperlukan bagi memastikan Timor-Leste dapat menjadi ahli penuh blok serantau itu menjelang Oktober depan.
Beliau dipetik berkata, secara dasarnya, ASEAN bersetuju untuk Timor-Leste menjadi anggota penuh, namun negara itu perlu memenuhi beberapa perkara sebelum menyertai blok berkenaan. – KOSMO! ONLINE