PETALING JAYA – Majlis kesyukuran cahaya mata sulung pelakon Datin Atikah Suhaime dan usahawan Datuk Lokman Teh yang berlangsung di Singapura semalam mencuri perhatian ramai dek kecomelan anak mereka, Lyla Mulan Teh.
Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 34, tampil anggun berhijab dan mengenakan busana rona hijau sementelah puteri kesayangannya pula kelihatan persis anak patung dengan gaun putih yang digayakan.
“Saya sangat gembira hari ini (semalam). Terima kasih buat seluruh keluarga di Singapura yang hadir memeriahkan majlis kesyukuran Lyla Mulan Teh.
“Walaupun persiapan dilakukan saat akhir kerana banyak tempat penuh ditempah, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan,” katanya.
Momen manis sepanjang majlis turut dirakam rapi dan dikongsi kepada peminat yang rata-rata terpukau dengan penampilan ibu dan anak itu.
“Anak comel, ibu pun cantik. Macam tengok majlis baby puteri raja,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Lyla Mulan sangat tenang wajahnya. Sejuk mata memandang, comel macam anak patung,” ujar seorang lagi netizen.
“Daripada mata sampai ke pipi, gabungan wajah ibu dan bapanya. Cantik berseri,” komen seorang peminat.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Ketua Pegawai Eksekutif jenama kecantikan Zaitun, Datuk Lokman Teh pada 21 Januari 2024.
Pasangan itu dikurniakan Lyla Mulan Teh pada 8 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE