PETALING JAYA – Kes seorang komposer yang juga gitaris menyerang rakan serumahnya dengan batang besi dalam kejadian di Pandan Indah, baru-baru ini akan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kertas siasatan kes itu kini sedang dikemas kini dan dilengkapkan.
“Kes sedang dikemas kini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, hanya kerana tidak berpuas hati dengar bunyi hempasan pintu bilik air, seorang komposer yang juga gitaris menyerang rakan serumahnya dengan batang besi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak berusia 52 tahun mendakwa sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar bunyi kuat dari arah bilik air.
Jelasnya, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian telah keluar daripada biliknya dan menghempas pintu bilik air itu semula.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian suspek keluar dari biliknya sambil membawa batang besi dipercayai pemegang gitar lalu memukul mangsa sehingga cedera di tangan. – KOSMO! ONLINE