PETALING JAYA – Setahun bercinta, pelakon Keith Foo memberi bayangan bakal memeluk agama Islam pada tahun depan sebelum berkahwin dengan kekasihnya, aktres Riena Diana.
Menurut Keith Foo atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin, 42, sebelum bersama Riena lagi dia sudah banyak membaca tentang agama termasuk Islam.
“Sejak ada Riena saya banyak minta tunjuk ajar seperti membaca doa makan dan banyak lagi. Apapun hanya doakan kami dan lihat apa yang akan jadi tahun depan. Ada, kejutan tahun depan,” ujar Keith.
Dalam pada itu, Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, turut menyampaikan berita gembira bahawa Keith memberi peluang kepadanya untuk memilih nama Islam.
Namun, kata bintang drama Kampung People itu, buat masa sekarang masih terlalu awal untuk berkongsi perkara yang dirasakan begitu peribadi buat mereka berdua.
“Sebenarnya ada berita gembira, Keith beri peluang untuk saya pilih nama Islamnya. Nama Islam kita sudah ada tetapi belum sedia untuk kongsi bersama umum,” kata Riena.
Tambah Riena, sebelum mendirikan rumah tangga Keith meminta untuk mendalami agama Islam terlebih dahulu.
“Saya tidak mahu orang kata, Keith memeluk Islam semata-mata mahu berkahwin. Sebab itu sekarang saya gembira untuknya yang cuba mendalami Islam.
“Kalau boleh tidak mahu hari ini peluk Islam, esok berkahwin. Keith sendiri beritahu yang dia mahu peluk Islam terlebih dahulu dan belajar tentang agama barulah berkahwin.
“Nama Islam semua kami sudah bincang, cuma belum bersedia untuk kongsi sahaja. Doakan yang terbaik buat kami,” kata Riena.
Dalam pada itu, pasangan merpati dua sejoli ini enggan tergesa-gesa dalam soal perkahwinan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak keluarga.
“Kita perlu bawa keluarga dalam hal ini (perkahwinan), kalau hendak sentuh soal kahwin saya tidak berani komen.
“Kalau boleh biarlah keputusan itu keluarga yang buat. Jika keluarga setuju dan kita akan teruskan dengan perkahwinan. Cuma sekarang kami berdua sedang sibuk bekerja. Doakan kami,” ujar Riena.
Keith dan Riena ditemui pada majlis sidang media Anugerah Melodi di sini malam tadi. Mereka turut tercalon dalam kategori Selebriti Couple Goals Terhangat. – KOSMO! ONLINE