ATLET lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan membuktikan statusnya sebagai jaguh acara itu apabila semakin menghampiri catatan rekod kebangsaan miliknya 18.46 meter (m) dicipta di Kuantan, Pahang pada Jun tahun lalu.
Jonah cuma kekurangan 0.07m untuk memadamnya ketika meraih pingat emas Kejohanan Trek dan Balapan Varsiti (VTF) Siri 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus baru-baru ini menerusi balingan sejauh 18.39m.
Begitupun, atlet berusia 22 tahun itu yang mewakili Universiti Malaya (UM) berjaya meleburkan rekod lama kejohanan 18.35m yang diciptanya tahun lalu.
“Saya gembira dapat perbaharui rekod kejohanan kali ini, ia menjadi pemangkin untuk terus memperbaiki teknik dan prestasi menjelang Grand Final (VTF) nanti.
“Lontaran 18.39m kali ini hanya kurang sedikit daripada rekod kebangsaan (18.46m) yang juga milik saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di UniSZA sebelum ini.
Kini, Jonah menyasarkan untuk memperbaharui rekod baharu kejohanan pada Grand Final VTF di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula November depan.
“Kalau boleh saya mahu pecahkan rekod kebangsaan dan itu tidak mustahil jika saya terus konsisten,” jelasnya.
Seandainya berjaya melakukan lontaran melepasi catatan 18.46m, ia akan menjadi rekod kebangsaan ketiga berjaya diperbaharuinya selepas kali pertama melakukannya dengan catatan 17.67m di Mokpo, Korea Selatan pada 24 Oktober 2023.