PASIR MAS – Jeritan bapa saudara meminta pertolongan menyelamatkan seorang mekanik daripada rentung apabila rumahnya terbakar di Kampung Chenerai Alor Pasir di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, Nik Muhamad Zolamin Nik Muhamad Saaudi, 32, tinggal seorang diri di rumah apabila ibu bapa dan adiknya keluar bekerja.
Nik Muhamad Zolamin berkata, dia yang sedang tidur terkejut apabila mendengar jeritan bapa saudaranya meminta tolong dari luar rumah.
Menurutnya, dia ketika itu tidur di atas sofa di ruang tamu terus bangun dan panik apabila melihat asap tebal di dalam rumah.
“Saya memang terkejut apabila mendengar jeritan bapa saudara. Dalam keadaan asap tebal, saya terus berlari keluar melalui pintu dapur untuk menyelamatkan diri.
“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa di dalam rumah, namun bersyukur kerana masih dipanjangkan usia. Semuanya hangus sekelip mata,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Nik Muhamad Zolamin memberitahu, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha Kawasaki ZZ-R1100 milik pelanggan bapanya, Nik Muhamad Saaudi Nik alias, 59, yang bekerja sebagai mekanik dan barang keperluan dapur yang ditebus menerusi Sumbangan Asas Rahmah turut hangus terbakar.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Fauzi Mat Husin berkata, 90 peratus bahagian rumah jenis sementara kekal tersebut musnah dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE