SUNGAI PETANI – Polis menahan isteri kepada seorang lelaki disyaki penjenayah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Puteri Jaya, dekat Sidam Kiri, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, wanita berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sebuah rumah disewa pasangan suami isteri terbabit yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian, awal pagi ini.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas rumah tersebut menjumpai sepucuk pistol, beberapa butir peluru dan sejumlah dadah.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang lagi lelaki disyaki ketua geng samun mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Puteri Jaya pada pukul 7.50 malam tadi.
Suspek berusia 34 tahun dan memiliki lebih 30 rekod jenayah lampau itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang juga mati ditembak di Jitra, dekat sini pada pagi semalam.
Lelaki itu ditemukan maut di dalam kereta jenis Toyota Camry dan pemeriksaan menjumpai satu senjata api dan beberapa barang kes yang lain. – KOSMO! ONLINE