fbpx

Inspektor disiasat kes rogol, minta suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SUNGAI PETANI – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan selepas disyaki merogol dan meminta suapan tunai dan habuan seks dalam dua kejadian baru-baru ini.

Pegawai berusia 29 tahun  itu ditahan selepas dua mangsa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani dan Balai Polis Sungai Petani pada 3 dan 4 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian pertama, pegawai itu disyaki menerima suapan RM2,000 daripada seorang lelaki bagi membebaskan suspek kes dadah.

“Rakan suspek kes dadah itu memberi wang kepada inspektor terbabit di pejabatnya sebelum pegawai itu meminta habuan seks menyebabkan suspek tidak berpuas hati lalu membuat laporan kepada SPRM pukul 11.30 malam, 3 Julai lalu.

“Setengah jam kemudian, kita terima satu lagi aduan kes rogol membabitkan inspektor sama daripada wanita berusia lingkungan 30-an, jadi polis menahan pegawai tersebut untuk siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, wanita terbabit yang mempunyai kaitan dengan satu kes samun mengadu kejadian rogol berlaku di rumahnya di sini kira-kira pukul 2 pagi, 20 April lalu.

“Inspektor tersebut yang masih bujang pergi ke rumah wanita itu dengan memakai uniform polis kononnya untuk membantu menyelesaikan kes samun.

“Kedatangan pegawai itu menyebabkan mangsa berasa takut. Ketika berada di dalam rumah, Inspektor tersebut merogol wanita terbabit tanpa kerelaannya,” katanya.

Pegawai yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah itu direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan. Reman disambung empat hari lagi bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI