WASHINGTON – Bilionair, Elon Musk melancarkan parti politik baharu selepas bertikam lidah sehingga menjejaskan hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, lapor akhbar New York Post.
Taikun teknologi itu turut berjanji untuk memberi semula kebebasan kepada rakyat Amerika menerusi hantaran di platform X semalam.
Kenyataan itu dibuat selepas Musk menjalankan tinjauan dalam talian mengenai sama ada beliau perlu menerajui parti politik baharu, dengan lebih 65 peratus responden menjawab ‘ya’.
“Anda mahukan parti politik baharu dan anda akan memilikinya! Apabila bercakap tentang memufliskan negara kita dengan pembaziran dan rasuah, kita hidup dalam sistem satu parti, bukan demokrasi.
“Hari ini, Parti Amerika ditubuhkan untuk memberikan semula kebebasan anda,” tulis Musk di X.
Pengumuman parti politik baharu itu dibuat selepas Trump menandatangani rang undang-undang dan perbelanjaan kerajaan yang kontroversi kelmarin.
Musk sebelum ini membelanjakan ratusan juta dolar untuk pemilihan semula Trump sebagai presiden dan mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) dengan tujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Kedua-dua mereka bagaimanapun berperang mulut selepas Musk menyokong calon Demokrat yang menentang rang undang-undang tersebut.
Trump minggu ini mengancam untuk memotong subsidi berbilion dolar yang diterima oleh syarikat Musk daripada kerajaan persekutuan.- AGENSI