PETALING JAYA – Dua individu nyaris maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Kuala Kubu Bharu menghala ke Bukit Fraser dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.07 pagi itu, motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 dinaiki seorang lelaki bersama seorang wanita dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati motosikal berkenaan telah terbabas ke dalam gaung dan terdapat dua mangsa di tempat kejadian.
“Mangsa lelaki mengalami kecederaan pada kaki dan bahu, manakala mangsa wanita cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari gaung menggunakan pengusung oleh anggota bomba.
“Dua mangsa terbabit kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE