PHILADELPHIA – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengakui pasukannya terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas kelab Brazil, Palmeiras dalam aksi suku akhir Piala Dunia Kelab semalam.
Pada perlawanan di Stadium Lincoln Financial itu, skuad The Blues berjaya mendahului hasil penyudah Cole Palmer tetapi jaguh Brazil itu bangkit menyamakan kedudukan menerusi ledakan pemain muda, Estevao Willian.
Namun, Chelsea bernasib baik apabila perlawanan tidak diheret ke masa tambahan apabila Agustin Giay tertampan gol ke gawang sendiri selepas terbias rembatan Malo Gusto pada penghujung saingan.
Kata Maresca, selain daripada keputusan positif, satu lagi perkara menggembirakan pasukan adalah prestasi Estevao yang bakal berhijrah secara rasmi ke Stamford Bridge pada musim baharu nanti.
“Ini adalah perlawanan yang sempurna kerana Palmeiras telah memberikan saingan sengit seperti yang kami jangkakan. Pasukan perlu bekerja keras hingga wisel penamat untuk mendapat kemenangan.
“Selain itu, saya juga gembira apabila melihat prestasi Estevao yang cukup memukau sehingga berjaya menjaringkan satu gol buat pasukan lawan,” katanya.
Sementara itu, Palmer mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki kerana pada babak pertama pasukan tidak bermain dengan baik.
“Jurulatih (Maresca) berang dengan aksi pasukan pada babak pertama kerana dia mahu kita bermain dengan taktikal hantaran pendek. Mengenai jaringan, saya teruja dapat bantu pasukan melakar kemenangan penting,” katanya. – AGENSI