ARAU – UMNO mengambil pendekatan terbuka bagi menerima mana-mana bekas ahlinya yang berhasrat untuk kembali semula bersama parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO sememangnya tiada masalah berkaitan hal itu, namun pelaksanaannya harus dibuat mengikut proses perlembagaan parti.
Katanya, surat rayuan perlu dikemukakan sendiri oleh individu atau bekas ahli terlibat bagi membolehkan tindakan seterusnya diambil mengikut perlembagaan.
“Kita bersedia terima sesiapa sahaja sama ada nama-nama besar atau mereka yang dikenali di peringkat bahagian mahupun cawangan, itu kita tiada masalah.
“Yang pentingnya seperti mana kenyataan saya sebelum ini, semuanya kena melalui proses perlembagaan parti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau, di sini hari ini.
Akhbar pada Selasa lalu melaporkan kenyataan Asyraf yang menyatakan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersedia menimbang sebarang rayuan oleh ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya, peruntukan jelas memberi ruang kepada mana-mana individu yang ingin mencabar keputusan tindakan tatatertib terhadap mereka melalui saluran yang sah dalam parti.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh pihak terlibat akan disemak dan dipertimbangkan terlebih dahulu oleh pengurusan serta MKT UMNO.
“Sudah tentu semua surat rayuan dikemukakan ini akan diambil kira dan dipertimbangkan untuk tindakan selanjutnya selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE