KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga wanita warga China melakukan pembayaran bilik hotel berjumlah RM8,700 dengan menggunakan 87 keping not RM100 palsu akhirnya terbongkar apabila ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 47 tahun itu dipercayai berperanan sebagai ejen sindiket wang palsu.
“Polis membuat rampasan membabitkan 87 keping not RM100 serta sekeping not RM50 dan RM20.
“Turut dirampas iaitu dua beg silang jenama Louis Vuitton, kad akses bilik hotel dan tiga unit telefon bimbit jenis Iphone,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama enam hari sehingga 9 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.
“Polis menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap wang kertas secara fizikal seperti yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE