ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya aspek keselamatan dan kebajikan petugas di pos kawalan sempadan negara dipertingkat sebagai langkah proaktif membendung jenayah rentas sempadan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini memberi perhatian khusus terhadap isu-isu di kawasan sempadan, termasuk penyediaan bekalan asas seperti air dan elektrik.
“Apa yang berlaku di kawasan sempadan sebenarnya memberi implikasi kepada seluruh negara. Sebagai contoh, penyeludupan senjata atau pemerdagangan manusia boleh memberi kesan besar kepada keselamatan awam.
“Perdana Menteri sering menekankan isu bekalan air dan elektrik di pos-pos sempadan. Kita kini sedang berusaha memastikan semua pos kawalan dilengkapi keperluan asas ini,” katanya di program Ziarah Kasih di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE