PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Perancis menerusi beberapa perjanjian strategik yang dijangka membawa pelaburan dan pembangunan baharu ke tanah air.
Antara perjanjian utama ialah pembelian pesawat A321XLR oleh AirAsia daripada syarikat penerbangan global Airbus, yang menurut Anwar akan memperkasa operasi laluan jarak dekat dan sederhana AirAsia serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan serantau.
“Saya telah menyaksikan pemeteraian perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara AirAsia dan Airbus yang akan memperkukuh keupayaan operasi syarikat penerbangan itu bagi laluan jarak dekat dan sederhana,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Selain itu, beliau turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara 3P Capital Adviser dan Ardian, sebuah syarikat pelaburan persendirian terkemuka Perancis.
Jelasnya, kerjasama itu bertujuan meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian dan membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap pelaburan alternatif.
Dalam pertemuan bersama syarikat Imerys, Anwar dimaklumkan mengenai komitmen syarikat itu untuk memperluas operasi di Malaysia.
“Saya dimaklumkan mengenai komitmen mereka untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi serta mesra alam di negara ini,” jelasnya.
Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas, yang kini sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.
“Ia berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama bioekonomi di rantau Asia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE