KUALA KANGSAR – Seorang peniaga air kelapa cedera selepas gerainya dirempuh sebuah kereta dinaiki pasangan warga emas dalam kejadian berhampiran Kuarters Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu, pasangan warga emas berusia 73 dan 69 tahun yang memandu kereta Proton Saga itu turut cedera.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kereta tersebut dipercayai terlebih dahulu melanggar kereta jenis Honda City yang diletak di tepi jalan sebelum merempuh gerai milik wanita berusia 49 tahun.
“Ketiga-tiga mangsa tidak tersepit dan diberi bantuan awal oleh orang awam. Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Pemantauan turut dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain yang terlibat mahupun cedera,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE