fbpx

Pemandu bas guna aplikasi navigasi, tak sedar ada palang besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bas ekspres yang dibahagian tengah remuk selepas langgar palang had ketinggian dalam kejadian di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota, Bangi.

BANGI – Tindakan seorang pemandu bas ekspres yang dipercayai menggunakan aplikasi navigasi membawa padah apabila kenderaannya merempuh palang besi penghadang had ketinggian di Jalan Mutiara, Putra Mahkota Bangi, dekat sempadan Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu, bas berkenaan yang membawa 22 orang termasuk tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Kuantan menuju Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 62 tahun itu gagal menyedari kewujudan palang besi penghadang ketinggian di laluan terbabit ketika mengikuti arah aplikasi tersebut.

“Akibatnya, bas yang dipandunya telah tersekat di bawah palang besi tersebut sehingga mengakibatkan bahagian hadapan dan atas kenderaan itu pecah serta rosak teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tujuh orang mengalami kecederaan, termasuk empat lelaki dan tiga wanita yang terdiri daripada pemandu dan penumpang.

Empat mangsa dirawat di Hospital Serdang manakala tiga lagi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Penumpang lain yang tidak mengalami kecederaan telah dihantar pulang ke destinasi masing-masing oleh ahli keluarga yang tiba di lokasi,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 012-5897115.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah bas ekspres melanggar palang had ketinggian menyebabkan tujuh mangsa termasuk pemandu cedera dalam kejadian di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota, Bangi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Azmi Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10.30 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI