fbpx

PACE UUM santuni anak yatim di Farm Fresh, Serdang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar PACE UUM bergambar bersama anak yatim semasa program Sinar Komuniti UUM di Farm Fresh, Serdang, Selangor hari ini.

PETALING JAYA – Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyantuni kira-kira 23 orang anak-anak yatim menerusi program kemasyarakatan Sinar Komuniti UUM di Farm Fresh, Serdang, Selangor hari ini.

Program anjuran pelajar pendidikan jarak jauh (PJJ) PACE UUM Semester April 2025/2026 (JA251) itu bertujuan menyemai nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan aktif bersama komuniti, khususnya anak-anak yatim.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik ceria, lawatan sambil belajar ke ladang
tenusu, sesi motivasi, aktiviti interaktif berkumpulan serta jamuan mesra.

Timbalan Pengarah PACE UUM, Prof Madya Dr. Abdul Aziz Othman berkata program yang dianjurkan itu bukan sahaja menyantuni golongan yang memerlukan, malah menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa yang berjiwa besar dan berempati.

“Penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai kesedaran sosial yang tinggi serta keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

“Program ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman sebenar bersama komuniti,” katanya ketika berucap di majlis penutupan rasmi program di sini hari ini.

Tambah beliau, inisiatif sebegini adalah manifestasi nilai-nilai murni yang menjadi teras pendidikan di UUM.

“Nilai seperti kasih sayang, tanggungjawab sosial dan semangat perpaduan perlu dipupuk secara berterusan agar mahasiswa dapat berkembang sebagai individu yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI