BARANGKALI ramai tidak mengenali susuk pelakon senior Zulkifli Ismail, andai hanya mendengar nama, namun apabila melihat wajahnya, pasti khalayak akan mengangguk penuh ingatan, terus terimbau kelibat lakonannya yang pernah menghiasi skrin sejak era 1980-an.
Empat dekad berkelana dalam industri seni, pelbagai ranjau sudah ditempuhi. Kendati zaman berputar, teknologi berubah dan generasi silih berganti, kelibat lelaki berwajah tenang itu tetap hadir dengan watak-watak yang bermakna dan membekas di hati penonton.
Dia insan seni tulen, pernah menjayakan lebih 100 judul drama dan puluhan filem, antaranya Opah, Anak Merdeka, Menara Impian dan tentunya Gerak Khas dengan watak ASP Razlan yang kekal sinonim dalam ingatan penonton.
Masa bergulir dan umur menginjak, tubuhnya kini tidak lagi seteguh dahulu.
Tidur berteman mesin
Lelaki berusia 62 tahun itu mengakui, dalam usia menjengah senja, penyakit datang tanpa dijemput.
Selain kencing manis dan tekanan darah tinggi, dia turut diuji dengan gangguan tidur kronik atau disebut ‘sleep apnea’.

Lantaran itu, Zulkifli kini bergantung kepada mesin CPAP (continous positive airway pressure) ketika tidur untuk memastikan oksigen sampai ke otaknya.
Jika tidak, pernafasannya boleh terhenti tanpa disedari, sekali gus mengundang pelbagai risiko, paling menakutkan adalah kematian dalam tidur.
“Apabila usia makin lanjut, macam-macam penyakit hinggap. Saya diuji, tapi bersyukur kerana masih mampu bekerja.
“Keputusan ‘sleep study’ saya memang menakutkan’. Nafas saya terhenti banyak kali waktu tidur dan tahap oksigen ke otak hanya 50 peratus.
“Bila oksigen tak sampai, itu sangat bahaya. Boleh terkena strok, boleh mati dalam tidur,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya, simptom awalnya kelihatan biasa iaitu hanya berdengkur dan mudah letih, namun lama-kelamaan, tubuhnya menunjukkan isyarat bahaya.
Kongsi bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia sekitar 1990-an itu, malam terasa seperti bukan waktu untuk berehat, tetapi pertarungan untuk terus hidup.
“Doktor menawarkan dua pilihan, jalani pembedahan buang sebahagian lelangit lembut di kerongkong, atau gunakan mesin bantuan pernafasan sepanjang tidur.
“Saya pilih untuk pakai mesin CPAP (continous positive airway pressure). Mula-mula memang tak selesa, rimas. Tapi sekarang sudah terbiasa. Sudah enam bulan saya pakai.
“Mesin itu ibarat nyawa kedua. Setiap malam, sebelum lelap, saya pasangkan ke muka, bernafas dalam aliran tekanan udara yang stabil,” ujarnya.
Paling penting kata Zulkifli, bantuan mesin CPAP banyak mengubah kualiti tidurnya. Kini tubuhnya lebih segar dan minda terasa ringan.
Untuk penyakit lain pula, dia masih bergantung kepada ubat bagi mengawal kadar gula dan tekanan darah. Dia bersyukur, segalanya masih terkawal.

“Sekarang saya boleh tidur lena. Tidur saya lebih dalam. Bila bangun, saya tak rasa penat sangat. Itu pun sudah cukup besar bagi saya.
“Saya juga masih boleh bekerja, masih boleh berlakon. Badan saya bukan sakit yang melumpuhkan. Cuma, perlu jaga dan sentiasa peka. Ubat makan seperti biasa, saya kena patuh temu janji doktor,” kongsinya.
Cari ilmu
Meskipun berteman mesin setiap malam, bekas wartawan Utusan Melayu itu tidak sesekali membiarkan dirinya terkurung dalam sengsara.
Pada usia 60-an, dia masih membuka buku, menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Ini untuk kepuasan hati sendiri. Saya rasa macam ada benda belum selesai. Lagi pun bila kita ada Master, lebih yakin untuk berkongsi ilmu dengan orang. Ada kredibiliti.
“Ilmu sekarang pun dah berkembang. Zaman saya dahulu lain, sekarang semuanya dah moden. Saya tidak menolak teknologi, jadi saya belajar dan nak curahkan balik ilmu kepada generasi baharu,” tuturnya.
Semuanya bukan semudah membaca skrip di set penggambaran, pengajian di peringkat Sarjana memerlukan masa, disiplin dan daya juang tinggi.
“Memang susah tapi saya anggap ini perjuangan ilmu. Lagi pun tak ada kelas. Cuma jumpa penyelia, siapkan portfolio, jawab soalan, kemudian mereka datang ke lokasi penggambaran buat penilaian.
“Semua itu memerlukan jerih perih tapi syukur Tuhan permudahkan,” jelasnya.
Ditanya tentang perancangan selepas Sarjana, anak jati Alor Setar, Kedah itu tidak menolak kemungkinan menyambung ke peringkat PhD (Doktor Falsafah) sebelum mencecah usianya 70 tahun.
“Selepas Master, saya ada niat nak sambung PhD. Orang kata kalau ada Master tak ada PhD, macam mengandung tapi tak beranak.
“Bila ada PhD, lebih senang kalau orang jemput bagi ‘talk’, boleh beri sumbangan formal kepada dunia akademik.

“Lagi pun anak sulung saya ada PhD pada umur 29 tahun. Anak kedua pun tengah buat Master. Saya ikut semangat mereka. Saya berazam untuk tamatkan PhD sebelum umur 70,” jelasnya.
Pandai cari peluang
Meskipun tawaran lakonan setakat ini masih mencurah, namun bapa dua anak itu sentiasa mencari peluang termasuk menjadikan platform digital seperti TikTok sebagai medan untuk dikenali dalam kalangan Gen Z.
“Zaman sekarang, kalau kita nak orang kenal, kena buat cara orang sekarang. Saya buat live, saya buat konten.
“Saya selalu ingatkan diri. Jangan hidup dalam bayang sejarah lama. Kita kena buang ego, tingkatkan diri, cari peluang dan terus berkarya. Saya pun dapat gift banyak dalam TikTok. Alhamdulillah, bolehlah buat duit sampingan,” noktahnya.