PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlaku hanya beberapa hari selepas sistem baharu itu dilancarkan secara rasmi pada Selasa lalu.
Presidennya, Jais Abdul Karim menyifatkan insiden itu sebagai mencurigakan memandangkan projek tersebut melibatkan pelaburan besar sebanyak RM742 juta, termasuk RM456 juta khusus bagi sistem Aerotrain baharu.
Lebih mengejutkan, katanya, gangguan itu berlaku disebabkan banjir di dalam terowong, mengakibatkan operasi terhenti dan penumpang terkandas selama hampir 90 minit.
“MCW menyambut baik inisiatif menaik taraf KLIA, namun setiap sen wang rakyat perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan yang konsisten dan boleh dipercayai bukan kegagalan awal yang menggugat keyakinan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, MCW menggesa Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tampil memberikan penjelasan terbuka mengenai punca sebenar gangguan serta langkah segera dan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
MCW turut menuntut agar audit bebas dan telus secara pasca-pelaksanaan dilaksanakan terhadap sistem Aerotrain serta keseluruhan perancangan saliran KLIA.
Semalam, Kosmo! melaporkan Perkhidmatan Aerotrain di KLIA digantung sementara selama lebih sejam pada pagi tadi ekoran pengumpulan air dalam terowong tren susulan hujan lebat.
MAHB berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 11 pagi apabila salah satu pam saliran di terowong berkenaan mengalami kerosakan teknikal. – KOSMO! ONLINE