SHAH ALAM – Polis sedang memburu lelaki warga Pakistan disyaki mencabul dan liwat kanak-kanak serta remaja di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28, di sini.
Suspek berusia 25 tahun itu dikenali sebagai Muhammad Hassan dengan beralamat terakhir di Flat Taman Negara, Seksyen 27.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima empat laporan polis mengenai kejadian itu bermula April lalu sehingga kini.
“Semua mangsa adalah kanak-kanak dan remaja lelaki berusia sembilan,13, 14 dan 19 tahun. Kejadian itu dipercayai dilakukan suspek sama berdasarkan modus operandi meminta pertolongan mangsa dan membawa ke kawasan sunyi.
“Mangsa kemudian dikatakan diliwat atau dicabul suspek yang tiada pekerjaan tetap itu,” katanya, petang ini.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial memaparkan kebimbangan penduduk mengenai tindakan kumpulan warga Pakistan meminta pertolongan daripada kanak-kanak dan remaja lelaki yang berusia 18 tahun ke bawah. – KOSMO! ONLINE