SEJUJURNYA, tiada sebarang masalah dengan penamat atau pengakhiran siri popular dunia, Squid Game. Player 456 ditamatkan riwayatnya, itu adalah selayaknya dan untuk kebaikan semua orang (dibaca: peminat).
Sebahagian audiens terlalu obses untuk meromantiskan ‘happy ending’ sedangkan dalam kehidupan sebenar, tidak semua perkara itu dinoktahkan dengan perihal-perihal indah.
Anak kematian ibu bapa sebelum diberi kesempatan mengenal dunia, itu realiti pahit perlu ditelan. Mana-mana manusia tidak ditemukan dengan takdir menjadi orang kaya atau berhutang keliling pinggang, itu hakikat hidup.
Alami, mesej
Itulah isi tersirat Squid Game buat tatapan umum agar sentiasa bangkit—tidak hanya melihat dunia sebuah lokasi persinggahan sementara menjanjikan ikrar yang tidak boleh dikotakan.
Secara peribadi, usai menamatkan tontonan musim ketiga, penulis menarik nafas lega kerana tidak lagi akan membuang masa tertunggu-tunggu menanti apa yang berlaku selanjutnya.
Bagaimanapun, ada beberapa perihal yang membuatkan penulis menggelengkan kepada tanda tidak bersetuju.

Antaranya, ada adegan melibatkan bayi Player 222 yang tidak dijayakan secara ‘alami’. Kalau ditonton secara terperinci, jelas menunjukkan babak anak player 222 dilunaskan menggunakan bantuan teknik janaan komputer (CGI).
Hujah penulis mudah. Squid Game merupakan jenama siri paling ‘mahal’ dunia dan paling mencetus fenomena, masakan untuk mendapatkan pelakon bukan daripada bantuan CGI, itu menjadi satu permasalahan besar.
Seperkara lagi, ramai yang mengeluh apabila watak lelaki berperwatakan wanita, Hyun-ju atau Player 120 dimatikan terlalu awal (iaitu pada episod kedua).
Buat penulis secara peribadi, itu adalah bukti pengarah komited melaksanakan ‘undang-undang’ Squid Game bahawasanya, tidak kisahlah anda karakter ‘fan favourite’ atau apa sekalipun, bila sudah sampai waktu nyawa ditamatkan, maka perlu ditamatkan.
Mati itu adil
Sama seperti apa yang berlaku pada musim pertama apabila watak kesayangan ramai, Ali Abdul atau Player 276 dinoktahkan waima tindakan itu mengguris jiwa audiens umpama luka yang dihiris limau nipis berkali-kali sakitnya.

Sekali gus semua itu membuktikan gelanggang Squid Game tidak pernah mengkhianati sistem sedia ada, akan ada pemenang tunggal dan akan ada mereka yang terkorban dalam memberi keadilan dalam hidup seorang dua pemain terlibat.
Kalau dibahaskan ketidakadilan Squid Game dalam ulasan pisican ini, memang tidak akan pernah habis.
Apa yang penting, siri ini memberi banyak pengajaran dan nilai. Biarpun sakit untuk ditelan, inilah realiti kehidupan. Yang kaya dan berkuasa seperti golongan VIPs akan terus terbelahak dan memijak-mijak mereka yang berada di bawah.
Satu ilmu datang daripada mereka yang berhati nurani seperti Seong Gi-hun atau Player 456—kita sememangnya manusia yang tersakiti bagaimana sekalipun, tidak akan pernah melukakan entiri sekeliling demi kemenangan wang yang bersifat sementara.
Squid Game, satu jenama yang membentuk pemikiran dan sosial penduduk dunia. Dalam kepalsuan apa dipaparkan, membuktikan bahawa dunia ini penuh dengan kebobrokan. Markah jujur daripada penulis siap bernombor 88/100.

Squid Game 3 Pengarah: Hwang Dong-hyuk Pelakon: Lee Jung-jae, Lee Byung-hun, Wi Ha-joon, Im Si-wan, Kang Ha-neul, Park Gyu-young Sumber: Netflix Bintang: ★★★★