KUANTAN – Seorang komando angkatan tentera yang hilang selepas melakukan latihan penyelaman di kawasan Pelabuhan Kuantan, di sini pada Khamis lalu ditemukan lemas, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mayat mangsa, Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, ditemui di kawasan tebing berbatu kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelam di kawasan tebing berbatu kira-kira 300 meter daripada lokasi asal kejadian.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, bersama peralatan menyelam dan dibawa ke unit forensin Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa bersama tiga lagi anggota penyelam menjalani latihan bersama pasukan khas pada 3 Julai lalu di kawasan pelabuhan Kuantan.
Katanya, kehilangan mangsa yang menyertai angkatan tentera sejak 2018 disedari apabila hanya tiga penyelam timbul ke permukaan selepas sesi latihan.
“Tindakan kecemasan terus diambil dan laporan polis dibuat bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE