fbpx

Julian McMahon meninggal dunia akibat kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Julian McMahon yang meninggal dunia selepas lama bertarung dengan penyakit kanser.

DUNIA hiburan antarabangsa berduka dengan pemergian pelakon tersohor Australia, Julian McMahon yang meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Julian atau nama sebenarnya, Julian Dana William McMahon, 56, menghembuskan nafas terakhir di Clearwater, Florida pada 2 Julai lalu namun berita duka tersebut hanya diumumkan isterinya, Kelly Paniagua, dua hari kemudian.

“Dengan hati yang terbuka, saya ingin memaklumkan kepada dunia bahawa suami saya telah pergi dengan tenang selepas perjuangan penuh berani melawan kanser.

“Julian cintakan kehidupan, sayangkan keluarga, sahabat dan peminatnya. Hasrat terbesarnya ialah untuk mencipta kegembiraan dalam hidup ramai orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemergian pelakon Fantastic Four itu mengejutkan ramai, termasuk rakan-rakan seperjuangan dan peminat kerana mendiang tidak pernah berkongsi tentang masalah kesihatannya secara terbuka.

Dilahirkan pada 27 Julai 1968 di Sydney, McMahon merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Australia, Sir William McMahon dan sosialit terkenal, Lady Sonia McMahon.

Mendiang memulakan karier sebagai model sebelum meledak dalam dunia lakonan menerusi siri Home and Away pada awal 1990-an.

Bintang Julian bersinar terang menerusi watak Cole Turner dalam Charmed, sebelum mengukuhkan nama sebagai Dr. Christian Troy dalam siri kontroversi Nip/Tuck yang membawanya ke pencalonan Golden Globe.

Dia juga dikenali menerusi watak antagonis Doctor Doom dalam dua filem Fantastic Four terbitan Marvel.

Wataknya yang penuh karisma menjadikan beliau antara pelakon villain paling diingati peminat francais tersebut.

Julian turut cemerlang dalam siri FBI: Most Wanted sebagai ejen Jess LaCroix sebelum meninggalkan rancangan itu pada tahun 2022.

Lakonan terakhirnya adalah dalam siri Netflix, The Residence sebagai Perdana Menteri Australia.

Julian pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Dannii Minogue pada 1994, kemudian bersama pelakon Brooke Burns dan memiliki seorang anak perempuan.

Mendiang mengahwini Kelly Paniagua pada 2014 dan kekal bersamanya hingga akhir hayat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI