PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) memandang serius kegiatan beberapa akaun media sosial disyaki mempromosikan perkhidmatan perjalanan masuk dan keluar negara serta menghapus status ‘blacklist’ (senarai hitam) di dalam sistem.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kumpulan itu turut menawarkan urusan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tidak wujud kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurutnya, siasatan awal mendapati akaun media sosial itu mengenakan bayaran tertentu terhadap setiap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Aktiviti ini disahkan sebagai satu bentuk penipuan dan cubaan untuk memperdaya orang ramai dengan mengaitkan JIM bagi mengaut keuntungan secara tidak sah.
“JIM ingin menegaskan bahawa Jabatan ini tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen untuk menguruskan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, sebarang urusan berkaitan perkhidmatan imigresen hendaklah dilakukan di Pejabat Imigresen.
Justeru, katanya, JIM menyeru semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang
tawaran atau iklan disebarkan melalui media sosial yang menjanjikan urusan imigresen secara ‘pintu belakang’.
“JIM tidak akan berkompromi dan akan meneruskan pemantauan dan siasatan terhadap akaun media sosial yang dikesan menjalankan aktiviti penipuan ini sebelum tindakan undang-undang diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE