SEREMBAN – Seekor harimau kumbang jantan seberat 43 kilogram (kg) masuk ke dalam perangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di kawasan kebun durian, Kampung Baru Pertang di Jelebu, pagi tadi.
Pengarah Perhilitan negeri, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima maklumat harimau kumbang masuk perangkap yang dipasang 1 Julai lalu pada 9.30 pagi oleh seorang lelaki berusia 58 tahun.
“Perangkap itu dipasang sepasukan kakitangan dari Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Perhilitan Negeri Sembilan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas harimau kumbang mendapati haiwan dilindungi berkenaan cedera serta terdapat kesan darah di bahagian ekor,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Ujar Faizal Izham lagi, harimau kumbang itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal. – KOSMO! ONLINE