REMBAU – Dua lagi individu yang dipercayai terbabit dalam video tular menghalang laluan di Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Pedas-Linggi, di sini, baru-baru ini, tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, kedua-dua individu lelaki berusia 31 dan 35 tahun berkenaan yang juga bekerja sebagai penarik kereta tampil pada pukul 12 tengah malam tadi.
“Ada tangkapan dua lagi individu dalam kes ini. Mereka datang serah diri kira-kira pukul 12 tengah malam setelah tahu pihak polis sedang mencari. Dua lelaki ini akan direman selama dua hari hingga esok.
“Ketiga-tiga individu berkenaan termasuk suspek yang ditangkap sebelum ini berusia 50an di Seremban akan disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 43 saat di media sosial yang tular itu memaparkan tiga buah kenderaan yang didakwa menyekat aliran trafik di lebuh raya berkenaan susulan berlakunya insiden kejar mengejar.-KOSMO! ONLINE