BATU PAHAT – Gelombang kebangkitan UMNO diyakini akan bermula dari selatan tanah air selepas melihat keputusan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN 15) pada Mac 2022 lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun tujuh bulan kemudiannya BN hanya mampu memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen namun jika dapat disusun atur satu pasukan yang mempunyai kekuatan pasti sasaran ini dapat dilakukan.
Katanya, pasukan yang dibentuk perlu mempunyai seorang pemimpin serba boleh yang berwibawa, mempunyai prinsip selain berani mengambil risiko dan bersungguh-sungguh dalam setiap kerja dilakukan dengan kaedah bertepapatan.
“Bagaimanapun, perkara utama yang perlu dihadapi pasukan ini adalah untuk memenangi 40 peratus pengundi muda daripada keseluruhan pengundi dalam negara ini.
“Golongan ini mereka memandang kehadapan tentang apa yang akan perolehi dari segi kepentingan mereka dan bukan hanya melihat kepada kejayaan parti selama tempoh lebih 60 tahun ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Taman Sri Sulong, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE