fbpx

Gelaran juara dunia bukan misi mustahil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kanan) dan Wooi Yik pernah mencipta sensasi dengan menjuarai Kejohanan Dunia sewaktu edisi tiga tahun lalu.

GELARAN juara dunia tidak lagi boleh dianggap sebagai misi mustahil, sebaliknya perlu dijadikan tanggungjawab utama yang harus direalisasikan oleh setiap pemain negara menjelang Kejohanan Dunia di Paris bulan depan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai kejohanan berprestij itu pada 2022 sudah membuktikan impian untuk bergelar juara dunia mampu dicapai.

Menurutnya, ia bukan lagi angan-angan kosong dan yakin beberapa wakil negara memiliki keupayaan untuk mencipta kejayaan sama di pentas antarabangsa.

“Sesiapa sahaja mampu bergelar juara dunia, sama ada Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah atau beregu campuran. Kita tidak tahu siapa, tetapi harapnya ia bukan sekadar sekali.

“Kalau boleh, biarlah gelaran itu dicapai secara berterusan. Ini akan menjadi motivasi kepada pemain-pemain muda bahawa ia bukan lagi satu angan, tetapi kenyataan telah kita kecapi,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi semasa, legenda dari Indonesia itu menekankan konsistensi prestasi adalah cabaran utama dalam misi memburu kejuaraan dunia.

Rexy turut mengingatkan pemain agar tidak cepat berpuas hati selepas meraih sesuatu kejayaan atau berada dalam kedudukan ranking dunia yang baik.

“Menjadi juara senang, tetapi untuk kekal konsisten dalam setiap perlawanan, itu sangat sukar. Saya tidak mahu pemain rasa cukup hanya kerana mereka sudah menang atau berada dalam kelompok ranking tinggi,” tambahnya.

Katanya lagi, setiap pemain harus memiliki ‘rasa lapar’ untuk terus memperbaiki diri dan mengekalkan semangat bersaing di tahap tertinggi sepanjang masa.

“Seperti apa yang dinyatakan Man (Wei Chong) dan Kai Wun, mereka mahu beri lebih baik lagi. Inilah sikap yang kita mahukan daripada semua pemain,” tambahnya.

Kejohanan Dunia 2025 dijadual berlangsung di Paris dari 25 hingga 31 Ogos depan menjadi medan penting buat Malaysia memburu gelaran dunia kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI