ATLANTA – Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) tekad untuk membalas dendam ke atas Bayern Munich menjelang aksi suku akhir Piala Dunia Kelab di Stadium Mercedes-Benz tengah malam ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu secara kompetitif pada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu apabila kemenangan berpihak kepada Bayern dengan keputusan 1-0.
Pemain sayap PSG, Bradley Barcola percaya barisan pemain bersemangat untuk menempah tiket ke separuh akhir dengan menyingkirkan gergasi Bundesliga itu.
Kata Barcola, rekod pertemuan lepas tidak boleh dijadikan ukuran kerana Le Parisiens ketika ini cukup ‘kebal’ selepas menjulang gelaran trebel pada musim lepas.
“Tiada pasukan yang boleh mengekang kemaraan kami ke pusingan seterusnya dan sekarang adalah masa terbaik untuk kita balas dendam ke atas Bayern.
“Apabila kita bertemu dengan mereka pada saingan UCL sebelum ini, pasukan tidak berada pada tahap terbaik.
“Kini, situasi berbeza kerana kita sudah berada dalam kelas tersendiri dan boleh dianggap pilihan ke separuh akhir. Saya rasa sukar untuk mereka sekat kemenangan kami,” katanya.
Sementara itu, pengendali PSG, Luis Enrique yakin motivasi pasukan ketika ini sudah berada pada tahap terbaik dan menyeru agar pemain mengekalkan mentaliti sama bertemu Bayern.
“Saya teruja dengan apa yang pasukan pamerkan sepanjang kejohanan ini kerana mentaliti pemain cukup positif.
“Kita juga cukup yakin untuk menang pada setiap perlawanan yang diharungi dan saya harap misi tersebut dapat diteruskan pada aksi seterusnya,” kata Enrique. – AGENSI