ORLANDO – Gergasi Brazil, Fluminense meneruskan kisah dongeng apabila mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia Kelab selepas menewaskan jaguh Asia, Al-Hilal 2-1 dalam aksi suku akhir awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Tricolor meraih gol pembukaan hasil penyudah Matheus Martinelli sebelum pasukan lawan meledak jaringan penyamaan menerusi Marcus Leonardo.
Namun, Hercules muncul wira Fluminense apabila meledak gol kemenangan sekali gus mengesahkan kemaraan skuad kendalian Renato Gaucho itu ke kelompok empat kelab terbaik dunia.
Kapten Fluminense, Thiago Silva mengakui apa dilalui oleh pasukan adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai dan kini hanya selangkah ke pentas final.
“Jika pada awal kejohanan ini, anda katakan pasukan kami akan sampai ke tahap ini, saya tidak akan percaya. Namun, inilah realiti dan kita perlu siapkan diri untuk aksi separuh akhir nanti.
“Sudah tentu saya mahu bertemu Chelsea (di separuh akhir) dan sekarang pemain kena fokus jika mahu mara ke pentas final,” katanya.
Sementara itu, Martinelli mengakui pasukannya cukup kebal sepanjang kejohanan ini dan sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana skuad lawan.
“Ramai tidak percaya dengan potensi kami tetapi kami dah buktikan pada setiap perlawanan. Saya rasa sukar untuk mana-mana pasukan menang ke atas kami ketika ini,” katanya. – AGENSI