fbpx

CWC: Bayern optimis jinakkan juara Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYERN mengharapkan kemenangan lalu ke atas PSG menyuntik semangat para pemain untuk aksi tengah malam ini. - AFP

ATLANTA – Bayern Munich menganggap aksi suku akhir bertemu Paris Saint-Germain (PSG) pada saingan Piala Dunia Kelab tengah malam ini sebagai buku bertemu ruas kerana merasakan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang.

Presiden Bayern, Herbert Hainer mengakui pasukan cukup teruja untuk menguji kekuatan PSG yang dilabel sebagai kelab terbaik di dunia ketika ini berdasarkan reputasi bergelar juara trebel musim lalu selain status selaku juara Eropah.

Kata Hainer, kemenangan besar diraih PSG pada kempen Piala Dunia Kelab ketika bertemu Atletico Madrid dan Inter Miami wajar dijadikan sebagai amaran buat skuad kendalian Vincent Kompany itu nanti.

“PSG ketika ini layak dianggap sebagai kelab terbaik di Eropah dan mereka cukup konsisten sepanjang kejohanan kali ini. PSG masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah dan sudah tentu mereka jadi pilihan.

“Namun, kami adalah Bayern dan tidak akan gentar dengan mana-mana pasukan. Barisan pemain juga berada dalam kelas tersendiri sekarang dan saya lihat peluang agak seimbang.

“Apa yang membezakan nanti adalah taktikal pasukan kerana PSG telah berkembang hebat sejak dua tahun lalu dan mempamerkan corak permainan menarik.

“Kami juga ada falsafah bola sepak moden yang boleh menghukum mana-mana pasukan,” kata Hainer.

Penyerang utama Bayern, Harry Kane mengakui aksi bertemu PSG bakal menjadi ujian paling berat buat pasukannya setakat ini.

“Kami jangkakan perlawanan yang sukar menentang PSG kerana mereka menang banyak trofi musim ini. Namun, kami pernah menang bertemu mereka sebelum ini dan harap keputusan positif dapat berulang sekali lagi,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI