ORLANDO – Tonggak pertahanan Al-Hilal, Kalidou Koulibaly percaya pasukannya tersingkir daripada kempen Piala Dunia Kelab dengan bermaruah selepas tewas 1-2 kepada Fluminense dalam aksi suku akhir awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Camping World itu, skuad Liga Pro Arab Saudi tersebut hanya meledak satu gol menerusi penyudah Marcos Leonardo dan akur dengan kekuatan wakil Brazil berkenaan yang meraih kemenangan hasil jaringan Matheus Martinelli dan Hercules.
Menurut Koulibaly, beberapa keputusan positif diraih pada kejohanan ini termasuk seri bertemu dua gergasi Eropah, Real Madrid dan menewaskan Manchester City diharapkan dapat menutup mulut kritikan yang sebelum ini diberikan terhadap pasukan-pasukan dari Arab Saudi.
“Kami sudah buktikan bahawa pasukan daripada Liga Pro Arab Saudi sangat kuat dan mempunyai ramai pemain berkualiti.
“Kami juga pamerkan corak permainan berkualiti dan semua pemain yang datang ke sini bukan sekadar mahu mendapatkan gaji lumayan semata-mata. Pasukan telah pastikan kami dapat bersaing di peringkat tertinggi,” kata bekas pemain Chelsea itu.
Sementara itu, pengendali Al-Hilal, Simone Inzaghi turut berbangga dengan apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya dan berharap momentum lebih cemerlang dapat dipamerkan musim baharu nanti.
“Kami cukup teruja dapat memberi aksi kompetitif dalam semua perlawanan yang diharungi dan saya lihat pasukan ini sangat istimewa.
“Kini, kami perlu segera fokus untuk persiapan pramusim bagi mengharungi saingan liga bulan depan,” katanya. – AGENSI