PENYANYI asal New Zealand, Lorde hampir ditahan unit antipengganas Polis New York (NYPD) ketika menjalani penggambaran video muziknya What Was That? di Washington Square Park, New York, baru-baru ini.
Kehadiran pasukan keselamatan ke taman tersebut disebabkan ramai peminat berhimpun di situ untuk melihat selebriti kesayangan mereka dari dekat sehingga ada yang sanggup bersesak-sesak.
Insiden yang turut dikongsikan netizen selepas Lorde memuat naik keberadaannya di kawasan tumpuan umum itu dalam Insta Story memburukkan lagi keadaan.
Dalam wawancara The Late Show with Stephen Colbert, penyanyi berusia 28 tahun ini mendedahkan polis menghalangnya dan pasukan produksi memasuki kawasan taman.
“Unit antipengganas NYPD sangat serius, mereka bagi amaran jika kami menjejakkan semula kaki di sana, saya akan ditangkap kerana dianggap mencetuskan kerusuhan,” ujarnya.
Polis kemudian menutup semua laluan masuk ke Washington Square Park selama beberapa jam bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Lorde dan kru produksi kemudian dibenarkan menyambung penggambaran di taman berkenaan. – KOSMO! ONLINE