SUNGAI BULOH – Pasangan suami isteri yang ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga menyebabkan kematian direman selama seminggu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, perintah reman pasangan terbabit bermula hari ini sehingga 11 Julai ini.
“Polis masih menyiasat motif kejadian mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, polis menerima laporan kejadian daripada seorang pegawai perubatan yang bertugas di Zon Merah Jabatan Kecemasan, Hospital Sungai Buloh sekitar pukul 12.25 tengah malam.
Pengadu memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 10.45 malam sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain tompokan darah kering di bahagian mulut dan hidung.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut dihantar ke hospital oleh sepasang lelaki dan wanita tempatan yang didakwa sebagai keluarga angkat mangsa.
Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 28 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau. – KOSMO! ONLINE