fbpx

500 pelumba gegar M8 Langkawi Runbike 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Aksi sengit dan mencabar mewarnai Kejohanan Antarabangsa M8 Langkawi Runbike 2025 dengan penyertaan lebih 500 pelumba cilik, termasuk 100 pelumba antarabangsa dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Saingan yang berlangsung sehingga Ahad ini dijangka menjadi edisi paling mencabar sejarah penganjurannya apabila pelumba-pelumba terbaik Asia Tenggara turun menggegar Langkawi.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd. Muzri Ramli menyifatkan kehadiran peserta antarabangsa sebagai petanda kejohanan ini semakin diiktiraf sebagai pentas pembangunan bakat serantau.

“Tahun ini kami jangkakan saingan yang sangat mencabar. Setiap negara menghantar wakil terbaik mereka dan ini menjadi pentas penting untuk membuktikan siapa paling pantas di Asia Tenggara dalam sukan pushbike.

“Antara nama besar yang dijangka mencuri tumpuan ialah Maleeq Dragster, satu-satunya pelumba dari Malaysia yang pernah menjuarai kejohanan di Jepun.

“Maleeq turut mencatat kemenangan di Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand, menjadikannya calon utama bagi menjuarai kategori terbuka tahun ini.

“Kategori Maleeq adalah yang paling sengit. Selain Maleeq, pelumba ternama seperti Horbint dari Thailand dan Adrian dari Singapura juga turun memberi saingan, begitu juga barisan pelumba Indonesia yang hadir dalam jumlah besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Muzri turut berkata, kejohanan ini secara tidak langsung memberi kesan langsung kepada ekonomi dan sektor pelancongan tempatan.

“Kami menerima maklum balas positif daripada pengusaha tempatan antaranya pengusaha kereta sewa yang melaporkan lonjakan tempahan sempena kejohanan ini.

“Ini adalah bukti bahawa sukan memberi impak langsung kepada ekonomi tempatan. Pengusaha hotel, restoran, pengangkutan dan penjaja turut menerima manfaat sepanjang tempoh kejohanan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI