fbpx

[VIDEO] ‘Kami tidak mahu dengar alasan berubah-ubah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan keadaan penumpang pesawat tersebut yang didakwa terpaksa dibatalkan tanpa alasan munasabah.

PETALING JAYA – Sekumpulan penumpang sebuah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu meluahkan rasa kecewa selepas penerbangan mereka dibatalkan secara tiba-tiba tanpa penjelasan yang munasabah oleh pihak syarikat penerbangan pada Rabu lalu.

Menerusi video berdurasi 14 minit, perkongsian Menadisha memaparkan beberapa penumpang mempertikaikan tindakan kakitangan syarikat terbabit kerana didakwa tidak mempedulikan kebajikan pelanggan.

Difahamkan, pesawat yang sepatutnya berlepas pada pukul 4.45 petang itu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat cuaca buruk.

Namun, setelah melebihi waktu penerbangan baharu yang ditetapkan, pesawat tersebut dimaklumkan ditunda lagi selama dua jam sehingga pada akhirnya para penumpang diberitahu penerbangan mereka dibatalkan dengan alasan yang tidak munasabah.

“Penerbangan kami ke Kota Bharu sepatutnya berlepas pukul 4.45 petang semalam (Rabu), tapi terpaksa berpatah balik ke KL akibat cuaca buruk.

“Setibanya di KLIA, pesawat perlu diisi minyak semula dan semua penumpang diminta turun kerana ada pertukaran kru.

“Waktu penerbangan baru ditetapkan pukul 7.50 malam, kemudian ditunda ke 8.30 malam, dan sekali lagi ke 9 malam dengan pertukaran pintu berlepas yang agak jauh,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Keadaan bertambah lebih tegang apabila pengumuman dibuat menyatakan penerbangan tersebut dibatalkan kerana penutupan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu.

“Setibanya di pintu berlepas yang baharu, kami dimaklumkan penerbangan dibatalkan atas alasan lapangan terbang ditutup. Namun, maklumat yang kami peroleh menyatakan sebaliknya dan dikatakan batal kerana masalah teknikal. Kami rasa amat tertipu,” luahnya.

Para penumpang turut mendesak syarikat penerbangan memberikan penjelasan rasmi dan tidak sekadar memberikan alasan lisan.

“Kami tidak mahu mendengar alasan yang berubah-ubah. Kami perlukan penjelasan bertulis. Ramai antara kami ada urusan penting seperti ahli keluarga sakit tenat, urusan mahkamah dan sebagainya,” luah salah seorang penumpang dalam video tersebut.

Selepas beberapa jam menunggu tanpa penyelesaian, pihak syarikat akhirnya memberikan kenyataan bertulis mengatakan penerbangan ganti pada keesokan harinya, pukul 6.30 pagi, serta menempatkan para penumpang di sebuah hotel

Namun begitu, rata-rata penumpang menyatakan rasa kecewa terhadap pengurusan yang dianggap tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan kali pertama saya menggunakan syarikat ini, tetapi saya janji ini kali terakhir,” kata seorang penumpang.

“Masalah teknikal bukan tanggungjawab kami. Tindakan syarikat langsung tidak mencerminkan keprihatinan terhadap pelanggan,” tambah seorang lagi. – KOSMO! ONLINE

@menadisha Replying to @𝓷 ♬ original sound – MaliMatte

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI