REMBAU – Dua lagi pemandu kenderaan yang menghalang laluan di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi, di sini masih diburu pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain memohon individu tersebut supaya tampi menyerah diri di balai polis atau pergi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau bagi membantu siasatan.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kumpulan itu adalah ejen dan mereka menghalang laluan tersebut dipercayai untuk menarik sebuah kenderaan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bilangan sebenar suspek yang terlibat. Seorang suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an sudah ditahan tengah malam kelmarin di Seremban.
“Suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 279 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim menerusi 019-7992519.
Sebelum ini satu video berdurasi 43 saat tular di media sosial memaparkan tiga buah kenderaan yang didakwa menghalang aliran trafik di lebuh raya.
Bagaimanapun, tiada lambang mana-mana agensi penguat kuasa terpapar pada kenderaan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE